Press "Enter" to skip to content

Anekdot Ramadhan

Salam Ramadhan

Secara Agamanya bulan Ramadhan kali ini sama seperti biasa . Ia datang dengan segala kemeriahannya. Berbagai tawaran disediakan. Sama seperti biasa. Tiada sedikit pun yang kurang. Solat Qiyam Ramadhan juga sama. Satu peluang kita secara peribadi berdepan dengan ALLAH.

Berapa Rakaatnya ? Jangan diperdebatkan. Apa yang penting ia perlu Ikhlas kepada Allah. Siapa yang kuat dan tahan buat banyak. Siapa yang lemah dan tak tahan, buat sikit.

Ibarat membuat bendang atau menoreh getah. Berapa relong atau pokok jangan jadi persoalan. Pentingnya padi itu menjadi dan getah itu penuh mangkok. Kalau banyak relong yang diusahakan tapi padinya hampas apa kesimpulannya? Kalau banyak pokok yang ditoreh tapi getahnya di dasar mangkok sahaja apa kesimpulannya ? Cuma yang lebih baik usahakan banyak relong dan pastikan banyak hasil. Toreh banyak pokok dan pastikan getah penuh mangkok.

Membaca Al-Quran macam biasa juga. Perlu tadabbur. Membaca banyak surah tanpa tadabbur sama seperti membajak banyak bendang tapi gagal mencedong. Sama juga dengan menoreh banyak pokok tapi gagal menadah.

Bagaimana pun membaca sebuah Al-Quran dengan penuh tadabbur tentulah lebih baik. Sama seperti membajak sebuah ladang besar dan berjaya menanam dengan tanaman yang berfaedah.

Oleh kerana itu kita perlu baca, bukan sebut sama seperti burung kakak tua. Untuk itu bawalah Al Quran sambil rujuk maknanya. Dalam bahasa mana pun ok makna itu . Kemudian terjemahkan apa yang Al Quran kata dalam kehidupan sendiri. Berapa pahalanya terserah kepada Allah.

Oleh kerana itu mengapa sedih menyambut Ramadhan yang suram? Sesungguhnya ia bukan suatu pesta sosial tetapi fest agama di mana Allah sendiri yang menjemput kita sebagai tamu istimewanya.

Maka jauhkan diri daripada menjadi orang yang berpuasa tanpa mendapat reward (ganjaran) kerana terlalu ghairah untuk mendapatkannya. Berpuasa lah kerana Allah menyuruh kita berpuasa.

Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *