Press "Enter" to skip to content

MDN julung kali akan anjurkan Anugerah Kecemerlangan Islam pada Disember

Majlis Dakwah Negara (MDN) buat pertama kali akan menganjurkan satu anugerah berprestij yang akan dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Islam (AKI).

Objektif AKI ini diadakan adalah untuk mengiktiraf ketokohan individu dan organisasi Islam.

Anugerah julung kali diadakan ini adalah kerjasama antara MDN dengan Persatuan Usahawan Asean Malaysia (MAAYE) yang dijangka akan diadakan pada 11 Disember 2019 nanti.

Pengerusi MDN Prof Emritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dalam sidang media diadakan pada 20 Ogos lepas, berkata, sebanyak 16 anugerah akan disampaikan ke atas kejayaan individu dalam pelbagai bidang termasuk akademi, korporat, perniagaan dan khidmat masyarakat.

Anugerah ini akan dinilai berdasarkan kepada empat kriteria iaitu kadar pertumbuhan, pembangunan modal insan, inovasi dan penerapan nilai Islam.

“Kita (Malaysia) mempunyai ramai pihak termasuk pertubuhan, sukarelawan, budaya, agama dan politik.

“Anugerah ini adalah ilham terhadap situasi sekarang dan bagaimana sikap kita memperjuangkan Islam dalam negara.

““Ini merupakan anugerah yang tinggi prestasinya yang akan diberikan kepada individiu dan organisasi yang betul-betul menonjolkan kegigihan dan komited tinggi yang memberi faedah kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau.

Antara kategori diberikan seperti Anugerah Ulung Harun Ar-Rasyid, Anugerah Tokoh Korporat Ibn Khaldun dan Anugerah Tokoh Wanita (Lubna Al-Qurtubiyya).

Terdapat lima kategori anugerah cemerlang ekonomi dan dua kategori anugerah kecemerlangan dalam inisiatif sosial dan tiga anugerah pilihan orang ramaiyang terbuka kepada pengundian awam.

Kategori lain seperti anugerah khas perpaduan bagi calon bukan Islam dan anugerah antarabangsa yang terbuka kepada warga asing.

Juruaudit AKI adalah akauntan bertauliah AljeffriDean yang merupakan salah sebuah syarikat perakuanan bumiputera terbesar di negara ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pondok Perdana MDN, Tan Sri Zulkurnain Awang dan Penasihat Projek Anugerah Kecemerlangan Islam (AKI), Nordin Mahamud.

Dalam sidang media sama Zulkurnain berkata, AKI mungkin akan diteruskan selepas siri pertama anugerah ini diadakan pada Disember kelak.

Bagaimanapun beliau berkata, MDN dan MAAYE tidak meletakkan tempoh anugerah ini diadakan setiap tahun atau dua tahun sekali.

“Kita mengutamakan kualiti tanpa had jumlah pencalonan. Jika banyak pencalonan tetapi tiada kualti, anugerah tidak akan diberi,” ujarnya

Anugerah Kecemerlangan Islam ini dijadualkan akan diadakan pada 11 Disember depan yang akan dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah.

Permohonan anugerah ini masih terbuka kepada orang ramai dan calon-calon boleh mengemukakan permohonan yang lengkap dalam talian atau di pejabat MDN.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan wakil urusetia daripada pejabat MDN melalui email ask@aki- mdn.com atau layari www.aki-mdn.com

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *